Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, projek tersebut merupakan usahasama syarikat milik Angkasa, MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. (MyAngkasa Bina) dengan pemaju, JY Creative Development Sdn. Bhd. (JYC).

"Ini merupakan projek perumahan Angkasa yang pertama di Pahang dan kita fokus kepada kategori mampu milik," ujarnya yang juga Pengerusi MyAngkasa Bina.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Usahasama Merdeka Residensi di Wisma Delima di sini hari ini.

Abdul Fattah menambah, projek tersebut juga merupakan inisiatif di bawah program MyAngkasa Home bagi membantu ahli koperasi di seluruh negara untuk memiliki rumah pada harga berpatutan.

"Di bawah program MyAngkasa Home, pihak MyAngkasa Bina bersama pemaju akan sama-sama membangunkan projek perumahan di tanah-tanah milik koperasi dan rumah yang siap dibina pula dijual kepada ahli," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan JYC, Datuk Aw Yong Kai Jan berkata, sebanyak 372 unit rumah di bawah projek Merdeka Residensi setinggi 32 tingkat dijangka siap dibina pada 2023.

"Setiap unit dijangka dijual pada harga bawah RM350,000 dan bangunan Merdeka Residensi juga akan menjadi binaan tertinggi di Kuantan apabila ia siap," katanya. - K! ONLINE