Kedua-dua suspek yang berusia 18 dan 23 tahun itu ditahan berasingan di Jalan Merdeka dan Kem Terendak, Sungai Udang di sini pada pukul 6 petang dan 11 malam pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, suspek dipercayai terbabit dalam enam kes samun dan ragut antara 10 Disember 2018 hingga 2 Febuari lalu.

"Sepasukan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berjaya menahan suspek berusia 18 tahun itu di Jalan Merdeka di sini kira-kira pukul 6 petang pada 5 Februari lalu.

"Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi suspek yang juga anggota tentera pada hari sama pada pukul 11 malam di Kem Terendak, Sungai Udang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya, dalam kejadian terbaharu pada Sabtu lalu, suspek dipercayai menyamun seorang wanita dengan menolak dan menutup muka mangsa di hadapan sebuah rumah di Jalan Tun Perak di sini, mengakibatkan kerugian kira-kira RM300.

Mengulas lanjut, Mohd. Nor Yhazid berkata, polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 dan pelbagai jenis telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan samun itu.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE