Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, konstabel berumur 25 tahun yang berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Persekutuan Ipoh mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 melanggar sebuah treler rosak yang berhenti di lorong kecemasan.

"Mangsa melanggar pada sisi kanan belakang treler itu sebelum tercampak ke tengah jalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ada dakwaan yang menyatakan selepas mangsa tercampak, datang sebuah kenderaan yang tidak dikenali melanggar mangsa.

Katanya, mangsa yang berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

Tambah Mohd. Ali, pemandu treler berumur 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama