Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Afifah Zainal Abidin, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Azman menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000, gagal bayar lapan bulan penjara bagi setiap pertuduhan dihadapi anggota polis terbabit. Afifah membayar denda tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara serentak.

Afifah yang belum berkahwin bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Mengikut kertas pertuduhan, Afifah didakwa meminta suapan sebanyak RM2,000 daripada Ahmad Termizi Mohd. Izham melalui satu panggilan telefon sebagai dorongan untuk menangguhkan proses pertuduhan lelaki itu di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh ketika Ahmad Termizi berada di dalam bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alor Setar kira-kira pukul 11.40 pagi, 13 Disember 2015.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan RM2,000 daripada individu sama atas dorongan serupa di Restoran Zeefee, Jalan Pegawai di sini kira-kira pukul 12.10 tengah hari, 15 Disember 2015.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Syahrul Khuzaini Amiruddin dibuat mengikut Seksyen 21(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Peruntukan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.- K! ONLINE