Tertuduh, Mohd. Shariff Ahmad, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Audi Musa bagi membantu menutup kes ganja yang sedang disiasat Bahagian Narkotik IPD Kulai.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga pegawai badan awam iaitu koperal polis di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai didakwa telah secara rasuah bersetuju untuk menerima suatu suapan bernilai RM3,000 daripada Muhammad Audi bagi menutup kes sama.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai sebanyak RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan bagi suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal di untuk menutup kes sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan tertuduh masing-masing pada 31, 4, dan 6 Disember 2017 di hadapan bengkel RMB Workshop No. 476, Jalan Gangsa 7, Taman Gemilang dekat Kulai.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Siti Rasidah Abd. Radzak.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 11 Mac depan. - K! ONLINE.