Mahkamah menetapkan keputusan itu terhadap tertuduh, Marsan Ajijul @ Anuar Mohamad Asnalul, 32, selepas dia mengaku bersalah di hadapan Hakim Alwi Abdul Wahad.

Mengikut pertuduhan, Marsan telah menjadi ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf di dalam negeri Sabah antara 31 Julai 2012 hingga 15 Mac 2018.

Bagi pertuduhan itu, dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dipenjara selama 13 tahun.

Marsan kini sedang menjalani hukuman penjara selama 0enam bulan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd. Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Marsan dalam prosiding merayu kepada mahkamah untuk dikenakan hukuman ringan kerana mempunyai tanggungjawab terhadap isteri dan empat anaknya di Filipina serta ingin membina kehidupan baharu di negara ini. - K! ONLINE