Bagaimanapun, masalah tersebut telah menjadi isu pen­ting dalam soal keselamatan negara di Amerika Syarikat (AS).
Lembaga Pemilihan Anggota Tentera bagi Tentera Darat AS mendapati rekrut daripada 10 buah negeri di selatan negara itu berdepan masalah obesiti dan kecergasan.


Portal berita Tentera Darat AS, Army Times pada Jumaat lalu melaporkan, kajian pihak lembaga itu mendapati rekrut dari negeri-negeri berkenaan cenderung untuk mendapat kecederaan disebabkan dua faktor tadi sekali gus isu ini mengundang risiko pada ke­selamatan negara. 
Ini kerana hampir sebahagian besar penyumbang rekrut bagi Tentera Darat AS adalah belia-belia negeri di selatan negara itu. 


Menurut kajian itu, obesiti dan kecergasan mengundang kecederaan kepada kira-kira 28 peratus daripada rekrut dari Alabama, Arkansas, Flo­rida, Georgia, Louisiana, Mississippi, North Carolina, South Carolina, Tennessee dan Texas mengundang risiko terhadap tahap siap sedia pasukan tentera dan keselamatan negara. 
Justeru, pihak lembaga ber­kenaan mencadangkan agar satu polisi yang lebih konkrit tentang dua faktor tersebut yang juga melibatkan soal keselamatan negara diambil perhatian oleh para pembuat dasar di Rumah Putih, sekali gus memperbaiki taraf kesihatan rakyat secara amnya.


Apa yang memeranjatkan, pihak Jabatan Pertahanan AS pada 2016 mendedahkan, jumlah anggota tentera negara itu yang gemuk ketika ditugaskan di barisan hadapan juga me­ningkat buat kali pertama berbanding 15 tahun sebelumnya.
Satu daripada 13 tentera didapati obesiti apabila menca­tat bacaan indeks jisim tubuh (BMI) pada angka 25 iaitu melebihi berat badan ideal. Pada tahun 2001, satu daripada 100 anggota tentera yang bertugas di barisan hadapan memiliki berat berlebihan.
Difahamkan, hal ini turut di­sebabkan amalan pemakanan kerana tentera yang bertugas di Iraq dan Afghanistan dibekalkan makanan berzat selain makan lima kali sehari.


Tentera di perbatasan juga tidak banyak melakukan aktiviti senaman ekstrem, sebaliknya lebih banyak beriadah di dalam gimnasium atas faktor keselamatan.
Masalah sama turut dihadapi negara yang memiliki pasukan tentera darat ketiga terbesar di dunia iaitu India apabila melancarkan perang terhadap obesiti tahun lalu.
Akhbar Hindu Times pada April tahun lalu melaporkan, pemeriksaan terhadap 787 anggota tentera mendapati satu pertiga daripada mereka atau 236 orang mengalami masalah kegemukan. Tentera Darat India memiliki tentera seramai 1.3 juta.


Anggota tentera gemuk di negara itu diberi kata dua sama ada berusaha menurun­kan berat badan serta cergas atau tiada peluang kenaikan pangkat.
Dua tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan seramai 11,274 daripada 109,304 pegawai dan anggota pasukan itu dikesan mengalami masalah obesiti. 
Mereka ini yang melibatkan 1,401 pegawai dan 9,873 anggota di seluruh negara telah diarahkan mengikuti program ekstensif bagi menurunkan berat iaitu Trim and Fit dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Universiti Teknologi Mara.


Kebanyakan anggota dan pegawai polis yang menghadapi masalah obesiti berusia 40 tahun ke atas. Mereka menjadikan faktor usia sebagai alasan untuk mengurangkan aktiviti luar.
Selepas setahun berlangsung, difahamkan 20 peratus daripada mereka berjaya me­ngatasi masalah kegemukan manakala baki 80 peratus atau yang masih dalam kategori obes diberi tempoh setahun untuk menurunkan berat badan kerana bermula 1 Januari lalu.


Jika gagal, ia akan menjadi satu daripada faktor dan memberi kesan pada peluang kerjaya seperti kenaikan pangkat di samping bagi memastikan tahap kesihatan pegawai dan anggota PDRM menjadi lebih baik. 
Kesimpulannya, semua anggota dan pegawai dari pasukan keselamatan negara perlu bebas daripada obesiti bagi me­lahirkan pasukan yang sihat untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.