Beliau berkata anggota JKDM menunjukkan  komitmen dan iltizam tinggi untuk menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh kecekapan, ketegasan dan berintegriti.

"Saya tidak syak dan ragu-ragu bahawa JKDM akan menunjukkan peningkatan dari segi penyampaian dan perkhidmatan dari setahun ke setahun.

"Malah, saya yakin dan percaya dalam apa jua keadaan, walaupun ditekan dan diugut, walaupun kereta dibakar, anggota Kastam tidak akan mengundur diri tetapi, sebaliknya, lebih kuat semangat untuk menjalankan tugas-tugas masing seperti mana yang diamanahkan," kata beliau semasa berucap pada Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 di sini, hari ini.

Semalam,  empat kenderaan milik keluarga Penolong Kanan Pengarah Kastam Penguat Kuasa GST JKDM Nur Azman Mat Jini terbakar di hadapan rumah  kuarters yang didiaminya di Presint 11 di sini, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, bahagian hadapan rumah pegawai kanan kastam itu hampir musnah berikutan api merebak daripada kenderaan yang terbakar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata berkata tahun lepas, JKDM berjaya  menyelamatkan hasil lebih RM1 bilion menerusi kejayaan mematahkan cubaan penyeludupan beberapa komoditi termasuk kenderaan, rokok dan minuman keras.

Sementara itu, kira-kira 2,000 warga Kastam yang diketuai Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy melafazkan sokongan padu kepada kerajaan yang dipimpin Najib.

"Marilah kita seluruh warga Kastam bangkit dan pamerkan semangat taat setia tidak berbelah kepada pimpinan Datuk Seri Najib," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripada pegawai dan anggota Kastam.

Dalam ucapan balasnya, Najib menyifatkan sokongan tersebut sebagai 'bonus'.

"Saya mendapat bonus kerana ikrar sokongan padu kepada kerajaan. Terima kasih kepada semua warga JKDM," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan anugerah Tokoh Kastam kepada bekas Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abd Rahman Abd Hamid manakala Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia Datuk Abdul Rahman Manan menerima anugerah Tokoh NGO.

 Sambutan Hari Kastam Sedunia tahun ini bertemakan 'Persekitaran Perniagaan yang Selamat Untuk Pembangunan Ekonomi' dengan memberi fokus kepada tiga elemen iaitu persekitaran yang kondusif, persekitaran yang selamat dan persekitaran yang adil dan mampan. - Bernama