Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa telah didatangi oleh 9 individu sewaktu berada di premis perniagaannya kira-kira pukul 4.40 petang dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Polis Bukit Aman dari Bahagian Jenayah Perdagangan serta Pegawai Bank Negara Malaysia. 

"Kesemua individu berkenaan kemudiannya mendakwa bahawa lelaki berkenaan telah menjalankan kegiatan sebagai pengurup wang tanpa lesen perniagaan yang sah. 

"Lelaki berkenaan bersama empat orang pekerja di premis itu kemudiannya digari dan telefon bimbit milik mereka turut diambil," katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Menurut Mazlan, lelaki berkenaan mendakwa, wang tunai berjumlah RM4,000 miliknya turut diambil dan suspek dan telah meminta wang tambahan sebanyak RM200,000 sekiranya dia ingin dilepaskan. Mangsa yang ketakutan kemudiannya menyerahkan wang yang diminta. 

Mazlan berkata, susulan maklumat yang diperolehi, pihaknya telah menahan dua orang pegawai polis lelaki yang masing-masing merupakan Inspektor dari Maktab Teknik PDRM, Muar dan Inspektor dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 20 Mei lalu. 

"Turut ditahan pada hari yang sama adalah lima anggota polis lelaki yang masing-masing seorang dari IPD Petaling Jaya, seorang dari Balai Trafik Jalan Bandar serta tiga lagi dari Balai Polis Sea Park dan kesemua mereka kini direman empat hari hingga 24 Mei ini," katanya. 

Jelas beliau, susulan penahanan itu, seramai empat lelaki tempatan termasuk seorang kakitangan Bank Negara Malaysia telah ditahan hari ini (semalam) dan permohonan reman akan dibuat pada 22 Mei (hari ini) serta kes akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan. 

"Polis Kuala Lumpur memandang serius kes ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai, anggota polis serta orang awam yang terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi, Deputi Superintendan M. Gunalan di talian 019-3114418; Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Jefri Faizal Jimi Sham di talian 017-335 4241; Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. - K! ONLINE