Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau telah memberikan persetujuan supaya dibuat pemilihan seorang lagi pemain import buat skuad Helang Merah.

"Saya sudah bersetuju dan terpulang kepada pihak pengurusan KFA dan jurulatih (Ramon Marcote) untuk menilai pemain itu (Andik) seterusnya buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehadiran bekas pemain Selangor itu di negeri ini selain tersebar gambar Andik memakai jersi pasukan serta bergambar dengan Penolong Pengurus pasukan Kedah, Haris Che Mat.

Terdahulu, Ahmad Bashah menyampaikan cermin mata percuma dan sumbangan makanan kepada kira-kira 1,000 penerima di Simpang Kuala Mall di sini hari ini.

Kata beliau, penambahan seorang lagi pemain import bagi kuota ASEAN itu merupakan satu keperluan untuk memperkemaskan lagi pasukan.- K! ONLINE