Dia yang tinggal di Kota Lama Baitulmuqaddis sering duduk di jendela rumahnya sambil memerhatikan halaman rumah seorang lelaki Arab yang dikenali sebagai Hajy.

Hajy merupakan usahawan yang menyewakan keldainya kepada mereka yang mahu mengangkut barang-barang. Di halaman itu dia sering melihat Hajy menjadi imam dan menunaikan solat bersama kakitangannya. 

Pada pandangan Fies, saf solat yang tersusun kemas itu menyamai pasukan tentera kerana setiap pergerakan dilakukan bersama-sama seolah-olah mengikut arahan pang­lima. Pergerakan berdiri, rukuk, iktidal dan sujud secara berulang-ulang sambil tangan diletakkan di antara pusat dan dada serta kekhusyukan masing-masing menjentik hati Fies. Selepas berdialog dengan Hajy, beliau akhirnya memeluk Islam. 

Sebenarnya ada banyak kisah orang bukan Islam lain yang terpesona dengan agama Islam hanya kerana mendengar azan, melihat tatacara solat dan saf. Seorang lelaki Amerika yang menonton siaran langsung solat Isyak pada bulan Ramadan di Mekah
menerusi te­levisyen pada awalnya begitu sinikal tentang saf solat.

Dalam minda beliau, dengan jumlah jemaah yang mencecah lebih sejuta orang tentulah mustahil saf boleh disusun dalam tempoh yang singkat. Ternyata, sangkaan beliau silap. Sebaik sahaja imam menyeru, ‘rapatkan saf’, dalam sekelip mata terbentuklah barisan saf yang kemas dan tersusun. Kagum dengan kejadian yang luar biasa itu, lantas dia mengucapkan kalimah sya­hadah.

Aura ibadah solat bukan calang-calang sehinggakan ia menjadi asbab kepada seseorang memperoleh hidayah. Proses kefarduannya melibatkan pengembaraan luar biasa Nabi Muhammad SAW pada malam 27 Rejab yang dipanggil Israk Mikraj. Tidak seperti ibadah lain, perintah solat ini sangat istimewa kerana Rasulullah bertemu secara langsung dengan Allah di Sidratul Muntaha.

Jika kita berbesar hati menerima undangan daripada istana untuk bertemu sang raja, pernahkah kita syukuri jemputan untuk ‘berbi­cara’ dan berhubung terus dengan Pencipta sebanyak lima kali sehari sebagai satu kurniaan paling istimewa? 

Justeru, ulang tahun Israk Mikraj Rasulullah yang baru sahaja berlalu tiga hari lalu bukan sekadar sekadar sambutan tetapi untuk merenungi sejauh manakah kualiti solat yang dipersembahkan selama ini. 

Secara jujurnya, bilakah kali terakhir kita menaik taraf solat kita? Bagaimanakah dengan kesempurnaan wuduk, rukun, kekhusyukan dan bacaan dalam solat? Adakah kita sudah yakin surah al-Fatihah yang dibaca sempurna dari segi taj­wid dan makhrajnya?

Adakah pe­ningkatan pada surah-surah yang dibaca atau masih surah al-Ikhlas, an-Naas atau an-Nashr? Adakah solat disempurnakan tepat pada waktunya atau dilengah-lengahkan hingga ke penghujung waktu?

Pada usia yang sudah mencecah 30, 40, 50, 60 atau 70 tahun, adakah solat kita jauh lebih baik atau tiada bezanya pada peringkat awal kita berjinak-jinak dengannya? Hakikatnya, belum terlambat untuk memperbaikinya. Motivasi terbaik untuk terus menyempurnakan ibadah ini adalah dengan mengandaikan solat yang akan kita dirikan sebentar lagi mungkin yang terakhir.

Persoalan tentang solat tidak hanya terhad pada dosa dan pahala. Galakan Nabi Muhammad supaya kita menunaikan solat secara berjemaah bukan sahaja disebabkan ganjaran pahala 27 kali ganda, malah ia terbukti baik dari sudut sains. 

Pakar sains fizik dari sebuah universiti di Amerika Syarikat, Prof. John Herbert dalam kajiannya mendapati, sentuhan antara bahu para jemaah ketika solat berjemaah mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif sekali gus menjadikan seseorang lebih energetik. Malangnya, tidak ramai yang mahu merebut tawaran ini.

Tersenarai sebagai rukun Islam yang kedua, solat dianggap ‘tiang’ dalam pembentukan keperibadian seseorang muslim. Bagi memastikan kepatuhan terhadap solat, maka pendidikannya perlu bermula dari usia tujuh tahun dan dipukul pada umur 10 tahun jika anak tersebut culas dalam solat.

Malapetaka yang diakibatkan tidak menunaikan solat bukan ha­nya menjejaskan diri individu bahkan menggugat alam perkahwinan. Laporan mendedahkan, hampir 90 peratus perceraian di Johor berpunca akibat mengabaikan solat. 

Mengapakah kita perlu benar-benar serius dengan ibadah solat? Dalam sekian banyaknya ibadah, amalan inilah akan dihisab terlebih dulu pada hari akhirat. Sebagai ‘ibu’ segala ibadah, tanpa solat, ibadah lain seperti zakat, puasa, haji atau sedekah akan cacat dan tidak ada nilainya di sisi Allah.

Sebab itulah golongan bijak pandai ada menyebut: “Ketika engkau tidak tahu dari mana harus bermula untuk memperbaiki diri, maka mulakanlah dengan memperbaiki solatmu.”