Anak kedua daripada tiga beradik itu dinobatkan penerima anugerah itu selepas mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0.

Joann yang merupakan pelajar jurusan Diploma Reka Bentuk Grafik berkata, menjahit secara langsung mengajarnya cabang kreativiti dalam membangunkan kemahiran dalam reka bentuk.

Katanya, ini kerana menjahit memerlukan seseorang menerapkan konsep, prinsip, elemen dan nilai estetika reka bentuk yang diaplikasikannya dalam pembelajaran sepanjang menuntut di MSU sejak 2015.

"Saya mula membantu ibu, Josephine Francis, 54, sejak berusia 13 tahun dengan melihat ibu menghasilkan reka bentuk pakaian yang ditempah oleh pelanggannya.

"Apabila belajar di MSU, saya membahagikan masa tiga jam sehari dengan membantu ibu dan menganggapnya bukan satu tugas sukar sebaliknya menajamkan lagi pemikiran dalam reka bentuk," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut di sini hari ini.

Anugerah tersebut diperoleh Joann daripada Pengerusi Kumpulan MSU College merangkap Pro-Canselor MSU, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin.

Menceritakan lebih lanjut, Joann yang merupakan penuntut di MSU Cawangan Seremban memberitahu, kejayaan itu membolehkannya mendapat tajaan biasiswa sebanyak RM15,000 daripada MSU bagi melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Permainan dan Animasi di MSU. 

"Ibu dan bapa, S. Shunmugamnathan, 62, tidak pernaha menghalang saya mengikuti pengajian tersebut meskipun secara umumnya ia dipelopori kaum lelaki dan menganggapnya sebagai satu cabaran," katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan MSU College, Prof. Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid menjelaskan, seramai 744 graduan keseluruhan masing-masing menerima diploma dan sijil mereka.

"Kita dalam rangka memastikan pelaksanaan 50 peratus program bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) di MSU menjelang dua tahun lagi seiring dengan dasar industri kerajaan.

"Selain itu, pembangunan usahawan juga turut diterapkan di kalangan pelajar agar lebih ketrampilan selaras dengan kebolehpasaran graduan MSU pada paras 98.6 peratus iaitu tertinggi dalam kalangan institusi pendidikan tinggi di negara ini," katanya. - K! ONLINE