Maszlee berkata, penempatan itu adalah mengikut pelaksanaan Dasar 90:10 iaitu dasar 90 peratus guru tempatan dan 10 peratus guru luar.

"Bagaimanapun, KPM melaksanakan penempatan guru baharu berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen setelah menerima bekalan guru baharu yang diperaku lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP)," katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) hari ini.

Maszlee berkata, bagi menjaga kebajikan guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kerajaan memperuntukkan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) pada kadar RM500 hingga  RM1,500 mengikut kategori kawasan pedalaman yang diiktiraf Jabatan Pendidikan Negeri.

"Untuk sekolah bagi kategori pedalaman satu, guru akan menerima elaun RM500, pedalaman dua RM1,000 manakala kategori pedalaman tiga akan menerima elaun RM1,500. - Bernama