Presiden Anak Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sumbangan RM100 akaun Tabung Haji kepada setiap murid itu adalah salah satu usaha kelab tersebut memupuk amalan menabung dalam kalangan masyarakat kampung dan golongan remaja.

Beliau berkata, 100 murid terpilih itu merupakan kanak-kanak daripada latar belakanh keluarga yang tidak berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Dong, Pamah Kulat, SK Tanjung Putus dan SK Muhammad Jabar.

"Anak Raub berharap dengan sumbangan yang tidak seberapa ini dapat memberi sedikit sinar buat adik-adik yang menerima akaun Tabung Haji. Selepas ini tekadkan dalam diri untuk menabung supaya boleh digunakan untuk masa akan datang.

"Terima kasih kepada penaja, Maritime Consult yang sudi memberi sumbangan buat kali kedua. Semoga lebih ramai syarikat korporat tampil menghulurkan sumbangan," katanya ketika berucap sempena Program Sumbangan Khas Anak Raub di SK Ulu Dong di sini petang tadi.

Turut hadir ialah Exco Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin dan pemangku Timbalan Pengarah Tabung Haji Pahang, Shahidan Taib.

Dalam pada itu, Fadzli berkata, Anak Raub akan terus menabur bakti kepada penduduk Raub melalui pelbagai program kemasyarakatan supaya menjadi inspirasi kepada anak muda untuk berjaya seterusnya kembali mencurah jasa.

"Pada tahun ini Anak Raub telah menganjurkan program Apa Khabar Orang Kampung yang memberi peluang anak-anak kelahiran Raub yang menetap di ibu kota dapat pulang ke kampung untuk mencurahkan bakti melalui program gotong-royong dan turun padang.

"Insyaallah pada 31 Mac depan, Anak Raub akan menganjurkan Pesta Bola Jaring Anak Raub sebagai salah satu usaha mengcungkil bakat generasi muda di Raub selain mengisi masa terluang dengan perkara berfaedah," ujarnya. - K! ONLINE