Dana yang diwujudkan dua anaknya, Mohd. Fadli Salleh dan Mohd. Arif bukan berkisar keperluan asnaf di daerah ini malah merentasi beberapa daerah di Terengganu dan turut memenuhi keperluan murid miskin bandar di Kuala Lumpur.

Menurut Mohd. Fadli, idea Dana Kita diwujudkan setelah melihat murid-murid dan orang sekeliling sangat memerlukan bantuan, sedangkan poket sendiri tidak mampu menampung semuanya.

"Justeru, saya mula menulis di Facebook dan dari sini sumbangan dari kawan-kawan mula masuk.

"Bermula dengan kecil-kecilan hinggalah mampu lancarkan projek kebajikan yang besar yang menelan kos lebih seratus ribu ringgit. Kita tetap dengan moto Dana Kita tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Di Kelantan, urusan membantu masyarakat digerakkan oleh keluarga berkenaan mengikut keperluan termasuk membantu mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di daerah ini.

Mohd. Arif ketika ditemui berkata, dia diamanahkan untuk membahagikan dana di dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu namun sumbangan adalah terhad yang juga bergantung kepada sumbangan semasa rakan-rakan Mohd. Fadli.

"Kalau di Kelantan saya membahagikannya ikut saluran sekolah kerana  memperolehi maklumat penerima yang lebih tepat dan benar-benar memerlukan bantuan.

"Di Terengganu temasuk kawasan Setiu dan pondok tahfiz yang berhampiran. Sehingga pertengahan bulan puasa ini seramai 200 asnaf sudah disantuni," katanya.

Mohd. Arif yang merupakan guru bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pak Amat berkata, Dana Kita juga menyumbang untuk pembesaran masjid Hajjah Salamah di Taman Haji Hussain Padang Pak Amat, dekat sini.

Menurutnya, Dana Kita juga menyumbang modal bagi penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) SK Padang Pak Amat menyambut saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail supaya menwujudkan taska di premis kerajaan.

"Keluarga kami sembilan adik beradik yang semuanya guru berpegang kepada prinsip jangan tunggu kaya baru hendak berkebajikan kerana yang penting adalah cakna masyarakat," katanya. - K! ONLINE