Kesempatan untuk menitipkan lembaran di ruangan komentar pada hari yang istimewa ini tidak mahu digunakan oleh penulis untuk memberi nasihat mengenai bagaimana cara untuk menjaga keselamatan di jalan raya kerana sudah banyak kempen dilakukan dan bukanlah juga untuk mengajar anda semua bagaimana berjimat dalam perbelanjaan kerana ia adalah pilihan para pembaca sendiri.

Namun, dalam kita menikmati 1 Syawal yang penuh berkat ini, ajaran Islam khususnya sangat menekankan konsep ‘habluminallah dan habluminannas’ iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Islam bukanlah agama yang memerintahkan untuk hanya beribadah kepada Allah tanpa memikirkan kehidupan dunia tetapi tidak juga mengejar kehidupan dunia sahaja. Setiap ibadah itu harus seimbang antara dunia dan akhirat.

Bagi melanjutkan artikel ini, penulis mahu menyoroti pe­ngalaman yang dilalui kira-kira seminggu sebelum bermulanya Ramadan lalu iaitu pada waktu te­ngah malam di sekitar bandar raya Kuala Lumpur apabila perhatian bertumpu ke arah sekelompok manusia yang berlegar di sekitar kaki lima ba­ngunan. Kelompok manusia yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak yang ada menamakan mereka sebagai gelandangan.

Gelandangan didefinisikan sebagai orang yang pekerjaannya atau tempat tinggalnya tidak tetap menurut Kamus Dewan Edisi Keempat tetapi lebih daripada itu, hakikatnya mereka adalah orang-orang yang hidup dalam keadaan tidak sesuai de­ngan norma kehidupan yang layak dalam masyarakat setempat.

Kehidupan kota yang mencabar terutama dari segi kewa­ng­an menyebabkan ada antara kita yang tertewas sehinggakan mereka tidak mampu menjalani kehidupan seperti manusia biasa yang lain sehingga mendapatkan keperluan asas seperti rumah kediaman juga tidak mampu.

Bagaimanapun, fokus utama adalah mengenai masa depan anak-anak gelandangan ini kerana sebahagian atau keseluruhannya hampir pasti telah keciciran dalam pelajaran lantaran de­sakan hidup ibu dan bapa.

Andai kediaman yang menjadi keperluan pun si ibu dan bapa tidak mampu untuk sediakan apa­tah lagi pendidikan untuk anak-anak mereka yang sudah pasti menjadi perkara kelapan atau kesembilan dalam senarai terpenting hidup mereka.

Saban tahun, belanjawan negara yang dibentang oleh kerajaan menyaksikan bukan sedikit wang yang diperuntukkan untuk memajukan sistem pendidikan negara, menambah baik infrastruktur sekolah-sekolah berasrama penuh, dana untuk kajian serta pembangunan di institusi pe­ngajian tinggi, peruntukan dalam usaha membentuk modal insan yang lebih berkua­liti serta pelbagai lagi yang sukar untuk kita mengingati semuanya sekali.

Namun, sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat isu anak-anak gelandangan ini sebagai suatu yang perlu diberikan perhatian serius terutama dalam memastikan mereka turut bersama-sama diberikan peluang mendapat hak pendidikan yang setara seperti rakyat Malaysia yang lain.

Kerajaan perlu menyediakan sebuah pusat atau sekolah yang lengkap berasrama dan segala kemudahan untuk mereka sama-sama berada dalam arus perdana, menuntut ilmu seperti anak-anak kita yang lain kerana hanya de­ngan ilmu pengetahuan mereka mampu untuk me­ngubah nasib dan masa depan.

Golongan pemikir, pakar ekonomi, ahli politik dan mereka yang berkenaan mesti mencari jalan untuk memastikan perkara ini dapat direalisasikan.

Bajet untuk sistem pendidikan mungkin boleh disalurkan sebahagiannya untuk golongan ini kerana dengan ilmu sahaja nasib seseorang itu akan berubah.

Inilah yang dinamakan konsep ‘habluminannas’ iaitu merasai denyut nadi orang lain, menyebarkan kasih sayang serta menjalani kehidupan dalam komuniti yang lebih segar untuk sama-sama menikmati tuah bumi Malaysia ini sekiranya diagihkan de­ngan sebaiknya.

Semoga kita semua terus dirahmati dan diberkati oleh tuhan empunya bumi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.