Pegawai Perhubungan Jabatan Hidupan Liar Sabah Siti Nur'ain Ampuan Acheh berkata punca ulser gastritis itu mungkin diperoleh haiwan itu menerusi jangkitan atau bukan jangkitan.

Beliau berkata, sampel organ dalaman penting anak gajah itu telah diambil untuk analisis toksikologi dan bakteriologi.

"Pengesahan punca kematian anak gajah itu sepenuhnya hanya akan diperoleh sebaik sahaja keputusan ujian sampel tersebut diterima," katanya.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap anak gajah yang dianggarkan berusia antara dua hingga tiga tahun yang ditemukan terapung berhampiran Hutan Simpan Pangi pada 13 Ogos lepas itu dilakukan oleh pegawai veterinar daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah. - Bernama