Pujukan si gadis itu kepada ayahnya dalam keadaan panas terik kemudiannya terngiang-ngiang dalam fikiran penulis yang dapat merasakan sesuatu mungkin berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Rabu, 9 Mei lalu.

Penulis sendiri sempat berbual dengan bapa gadis tersebut dalam barisan yang panjang selama lebih dua jam untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang, tempat bermulanya penulis membina kehidupan di Kuala Lumpur hampir tiga dekad lalu.

Dia menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang meme­rintah negara lebih 60 tahun gagal mendengar keluh-kesah rakyat yang menghadapi tekanan kos sara hidup begitu tinggi sehingga membebankan mereka sebagai rakyat biasa.

“Malam ini bang...kita tengok siapa yang kena,” ujarnya.

Dia menambah: “Hari ini kita mengamuk.”

Senario hampir serupa itu turut berlaku ketika penulis mengundi di sekolah yang sama pada PRU-12 dan PRU-13 masing-masing pada tahun 2008 dan 2013.

Pada ketika itu pengundi di depan dan di belakang saya menyuarakan rasa hati mereka untuk menukar kerajaan BN kerana percaya parti pembangkang ketika itu perlu diberi kepercayaan untuk memerintah negara.

Hasilnya, BN buat pertama kali kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada tahun 2008 setelah menang besar dua pertiga ketika PRU-11 pada tahun 2004.

Prestasi BN yang kehilangan majoriti dua pertiga itu berterusan ketika PRU-13 pada tahun 2013 sebelum parti keramat orang Melayu iaitu UMNO yang menjadi tulang belakang BN sejak zaman merdeka kehilangan segala-gala pada hari ini.

Pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikatnya, BN terpaksa melepaskan negara yang diperintah sekian lama ini kepada pihak lain.

Parti yang membina Tanah Melayu selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga Malaysia menjadi se­perti yang ada sekarang - maju dan makmur - kecundang juga ditelan arus masa kerana zaman sudahpun berubah.

Generasi muda termasuk anak-anak Melayu telah membuat pilihan bahawa Pakatan Harapan perlu diberi kepercayaan untuk memerintah negara ini.

Mereka mahu mewujudkan sistem dua parti menguasai politik di negara ini dalam satu-satu masa. Pihak yang memerintah tidak perlu diberikan mandat majoriti dua pertiga sebagaimana berlaku sebelum ini berpuluh tahun lamanya.

Para pengundi muda yang merupakan generasi gajet telah mencuba melakukannya pada tahun 2008 dan ia akhirnya berjaya dilakukan sepenuhnya pada tahun 2018.

“Cukup bagi siapa pun yang memerintah negara ini untuk memperoleh majoriti mudah. Kita cuba mereka untuk memerintah dengan baik. Kalau mereka gagal dalam tempoh lima tahun ini, kita tukar mereka dan kembalikan kuasa kepada BN,” kata seorang pengundi yang berbual bersama penulis ketika makan selepas me­ngundi.

Selebihnya kini telahpun menjadi sejarah.

BN kini menjadi parti pembangkang di negara yang ia sendiri bina untuk sekian lama.

Ironinya, individu yang menyebabkan BN dan UMNO berada dalam keadaan hari ini ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dahulunya pernah memimpin UMNO, BN dan negara begitu lama iaitu selama 22 tahun.

Kini masa depan negara adalah di tangan Perdana Menteri berusia 92 tahun itu.

Dalam tempoh 100 hari selepas menang pilihan raya, rakyat yang mengundi PH termasuklah mereka yang menyokong BN tentulah mahu melihat apakah pakatan tersebut berjaya menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mengurangkan kos sara hidup, menghapuskan tol di semua lebuh raya, menurunkan harga petrol di bawah paras RM1.50 sen seliter, memastikan suri rumah memiliki simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta banyak lagi.

Di pihak BN, jika mahu kembali berkuasa di negara ini, ia perlu melakukan perubahan sepenuh­nya daripada segi kepimpinan. Meminjam kata-kata anak remaja saya, BN memerlukan kepimpinan darah muda yang jujur, ikhlas dan berwawasan untuk membina negara demi masa depan lebih baik.

Jika tidak, BN dan UMNO ha­nya tinggal dalam lipatan sejarah negara ini.