Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu bagaimanapun tidak menjejaskan bangunan hospital dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd. Din berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.11 pagi dan sepasukan 16 anggota termasuk komander operasi dikejarkan ke lokasi. 

"Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dan kebakaran dipadamkan menggunakan bekalan air dari jentera. 

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.29 pagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Katanya, pihak bomba difahamkan kejadian berlaku sebaik sahaja ambulans tersebut menurunkan seorang pesakit dari Unit Kecemasan Hospital Melaka ke Blok E. 

"Selepas menurunkan pesakit, pemandu ambulans terbabit mendapati bahagian hadapan kenderaan berkenaan berasap dan terbakar.

"Dia kemudian cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api dan hos kecemasan sebelum pasukan bomba tiba mengawal insiden itu," katanya. 

Sementara itu, beliau turut menafikan berita yang tular dalam laman sosial kononnya berlaku kebakaran di Hospital Melaka.

"Kami tiada menerima sebarang panggilan kebakaran lain, selain membabitkan kes ambulans pagi tadi," katanya. - K! ONLINE