Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, ambulans yang dalam perjalanan menghantar Loo Sheng Hong untuk menerima rawatan lanjut berlanggar dengan sebuah van jenis Toyota Liteace dinaiki seramai enam orang.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian itu menyebabkan pemandu dan empat penumpang van tersebut mengalami kecederaan.

"Pemandu van, M. Gunaselan, 55, yang merupakan kerani sekolah patah tangan kanan dan kaki kanan. Empat penumpangnya termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mengalami kecederaan ringan.

"Tiga individu yang menaiki ambulans masing-masing pemandu, pembantu perubatan dan pesakit denggi terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku semasa kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Bahau menghala ke Juasseh.

Kata beliau, ambulas merempuh van tersebut selepas tidak sempat mengelak van itu yang membuat pusingan U sewaktu tiba di lokasi kejadian. 

Menurut beliau, kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah dan Hospital Jempol untuk menerima rawatan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE