Hasan yang kini berusia 63 tahun berkata, beliau telah menempuh dugaan pada hari pertama memulakan kayuhan apabila cuba dirompak oleh dua orang lelaki namun niat jahat mereka berjaya dipatahkan oleh sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta di kawasan Rehat Dan Rawat terletak 20km dari Qazmin, Iran.

Jelas beliau, sekumpulan lelaki itu telah berjaya menangkap dua lelaki berkenaan dan membawa mereka ke balai polis berhampiran. 

“Saya juga hampir dipukau oleh sepasang suami isteri yang meminta cenderahati duit Malaysia, ketika saya keluarkan dompet, dia kata hendak lihat duit yang lain dan ketika saya memegang beberapa keping wang kertas bernilai RM50, isterinya memegang saya dan mereka minta pula matawang Amerika Syarikat namun saya menyedari perbuatan jahat mereka dan cepat-cepat beredar daripada tempat itu.

“Selepas berlaku kejadian pertama itulah saya mula membaca surah yasin hampir setiap malam dan memohon perlindungan supaya tidak berlaku sebarang bencana sepanjang misi ini dan mengelak untuk berkayuh pada waktu malam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Hassan yang sebelum ini pernah mengelilingi dunia pada tahun 2001 dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai rakyat Malaysia pertama berbasikal mengeliling dunia selama 389 hari menjelajah 18 buah negara mengambil keputusan mengayuh secara solo di lapan negara Balkan bermula 19 September lalu.

Dengan tema Kayuhan Solo, Warga Emas, Jantung Emas misi kayuhan solo tersebut bermula dari Iran, diikuti Turki, Bulgaria, Serbia, Bosnia, Croatia, Slovenia dan berakhir di Itali.

Beliau yang juga Bekas Pegawai Daerah Port Dickson itu berkata, antara cabaran yang perlu dilalui ialah berkayuh dalam terowong yang sempit yang sangat berbahaya kerana dilalui oleh kenderaan berat termasuk melalui kawasan berbukit serta padang pasir.

“Iran merupakan sebuah negara yang mempunyai banyak kawasan berbukit dan terdapat banyak terowong menjadikan kayuhan saya sangat berbahaya,” ujar beliau.

Hasan berkata, kayuhan tersebut telah menyebabkan beliau hilang berat badan sebanyak 20 kilogram namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Untuk melakukan cabaran seperti ini kita mesti berani, mempunyai mental yang kuat dan sentiasa berkata yang kita boleh lakukan. Pada usia 63 tahun ini adalah satu anugerah yang dikurniakan kepada saya dan berharap rakyat Malaysia juga akan menjalani gaya hidup yang sihat,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan, misi yang seteruskan ialah mengayuh basikal ke negara China yang akan mengambil masa selama dua bulan. - K! ONLINE