Bagi guru dan pelajar, mungkin Aidilfitri kali ini cukup menyeronokkan kerana ia jatuh serentak dengan cuti pertengahan penggal persekolahan selama 16 hari bermula 9 Jun lalu dan berakhir pada 24 Jun.

Sambutan Aidilfitri kali ini juga cukup menarik apabila buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia kini diterajui oleh Pakatan Harapan yang menggantikan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara selama 60 tahun.

Keberanian rakyat Malaysia terutama generasi muda memilih kerajaan baharu pasti tercatat dalam sejarah negara.

Trendnya sudah jelas kelihatan iaitu rakyat mahu sistem dua parti bakal mewarnai landskap politik negara pada masa depan.

Mereka kelihatan berani menukar kerajaan sedia ada jika ia gagal melaksanakan janji-janji kepada rakyat semasa kempen pilihan raya.

Tempoh lima tahun akan datang merupakan ujian kepada Pakatan Harapan untuk membuktikan sejauh mana pemerintahan mereka lebih baik dan lebih disenangi rakyat berbanding BN.

Hakikatnya, selepas lima minggu Pakatan Harapan memerintah, kehidupan masyarakat berjalan seperti biasa.

Harga petrol RON95 misalnya kekal RM2.20 seliter sebagaimana sebelum ini malah harga petrol RON97 jauh lebih mahal.

Suatu yang paling jelas ialah rakyat sangat gembira apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan dan bakal digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September ini.

Kerana terlalu fobia GST, mereka tetap gembira walaupun harga barangan yang dibeli itu sama sahaja seperti sebelum GST dihapuskan malah harga sesetengah barangan ada yang meningkat.

Tidak ada lagi potongan seba­nyak 6 sen ketika mengeluarkan wang simpanan sendiri di bank lain yang telah pun dikenakan caj RM1.

Rata-rata rakyat tidak risau jika negara mengalami pengurangan pungutan hasil yang ketara kerana bagi mereka, itu semua adalah urusan dan tanggungjawab kerajaan ketika ini.

“Yang penting kita rakyat tidak rasa susah dan kita rasa harga barang tidak mahal sangat seperti sebelum ini. Awak senang, saya pun senang, kita sama-sama boleh cari makan,” kata seorang pengusaha bengkel kereta kepada penulis baru-baru ini.

Mereka tidak kisah Pakatan Harapan gagal menghapuskan tol secara besar-besaran sebagaimana dijanjikan sebelum ini kerana bagi mereka, banyak lagi isu yang kerajaan sedia ada perlu urus dan perbetulkan.

Ia termasuk soal hutang negara berjumlah RM1 trilion walaupun banyak pihak ketika ini melihat bahawa angka tersebut sengaja dimanipulasi.

Rata-rata kakitangan kerajaan bergaji tinggi juga reda apabila Pakatan Harapan enggan memberikan bantuan khas menje­lang raya sebagaimana mereka menikmatinya sebelum ini.

Mereka hanya mampu menggigit jari apabila kenaikan gaji sekali ganda sebagaimana dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini tidak dapat ditunaikan oleh kerajaan sekarang.

Rakyat juga tidak kisah jika projek Kereta Api Laju (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura dibatalkan walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika lawatannya ke Jepun baru-baru ini menegaskan sebaliknya apabila projek itu hanya ditangguhkan.

Mereka gagal berfikir dengan adanya HSR itu, Kuala Lumpur bakal menjadi tempat rakyat Singapura melepak sambil berbelanja dengan mudah, begitu juga sebaliknya rakyat Malaysia melepak di Singapura pada bila-bila masa.

Mereka tidak fikir pun impak ekonomi besar-besaran projek itu di kawasan jajaran HSR atas alasan basi iaitu kos terlalu tinggi, kerajaan tiada duit.

Nasib baik kerajaan tidak membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mampu memajukan ekonomi negeri-negeri Pantai Timur dan negara keseluruhannya atas alasan sama iaitu kos terlalu tinggi, kerajaan tiada duit.

Namun penulis tetap termenung melihat jajaran Transit Ali­ran Massa (MRT) fasa tiga di ibu negara apabila ia kini telah dibatalkan. Alasannya juga basi iaitu kos terlalu tinggi, kerajaan tiada duit.