Tidak dinafikan pelbagai laman sosial yang ada pada hari ini dijadikan ruang untuk seseorang mencari glamor, berniaga, gilakan perhatian dan menipu.

Penjenayah online pula sentiasa berusaha mencari peluang kepada mereka yang lalai, kurang kesedaran dan kurang membaca.

Lebih malang, mereka yang terpesona dengan apa yang ada dalam internet itu tidak dapat membezakan maklumat yang betul dan palsu.

Sudahnya, kelompok ini jadi sasaran diperdaya dan ditipu oleh penyamun online menerusi panggilan atau pun e-mel selepas memperoleh maklumat peribadi mangsa.

Lebih parah apabila ada kes penipuan melibatkan kerugian sehingga ratusan ribu ringgit. Ia bukan jumlah yang sedikit, silap hari bulan licin duit dalam akaun bank hasil simpanan bertahun-tahun.

Duit kalau sudah lesap ditipu, boleh menyebabkan kita melopong dan menyesal tak sudah. Peluang untuk mendapat kembali wang tersebut amat tipis sekali.

Baru-baru ini penulis ada menerima e-mel daripada sebuah bank tempatan yang mengi­ngatkan pengguna tentang Macau Scam.

Menerusi e-mel itu, bank berkenaan meminta pengguna berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sindiket terbabit.

Malangnya, biarpun media sering melaporkan kes-kes tipu melibatkan jenayah siber ini tetapi masih ada lagi mangsa yang terpedaya.

Pada Ramadan lepas, seorang kerani wanita di Tanah Merah, Kelantan rugi lebih setengah juta ringgit selepas menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.

Dalam kes lain, seorang pensyarah wanita di Seberang Perai, Pulau Pinang mengalami kerugian RM30,400 pada awal Mei lalu.

Golongan penjenayah siber ini amat licik. Mereka bijak memanipulasi data-data penting dan menjadikan internet sebagai lubuk untuk memerangkap mangsa.

Persoalannya di sini, sebagai pengguna tegar alam siber kita seharusnya sentiasa waspada de­ngan individu yang tidak dikenali.

Jangan sesekali dengan mudah mendedahkan maklumat peri­badi kepada pihak tertentu.

Bukan setakat kes tipu wang, macam-macam kes telah dikesan termasuk mereka yang menawarkan jual beli barang secara online.

Wang lebur dicuri, sudahnya barang yang ditempah entah ke mana.

Ada juga yang menipu dengan menyamar akaun media sosial membabitkan artis, orang politik serta ahli perniagaan dengan tujuan untuk memperdayakan orang ramai.

Mereka yang terlibat jenayah ini juga mampu menggodam kata laluan rahsia pengguna atau pemilik akaun media sosial dan maklumat bank.

Apa yang membimbangkan pada masa kini ialah anak-anak remaja yang ghairah dan taksub bersosial di alam siber.

Kesedaran tentang jenayah siber ini wajar diberi pendedahan di peringkat sekolah lagi oleh pihak berwajib termasuk di kawasan luar bandar.

Selain itu, sebagai pengguna alam siber yang terdedah dengan pelbagai ancaman harus peka dan waspada dengan taktik licik penjenayah ini.

Kita bukan sekadar mahukan golongan ini celik teknologi maklumat tetapi juga peka secara holistik dalam dunia siber serba moden ini.