Ketua Pegawai Eksekutif MEDIU, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berhubung isu tersebut. 

“Kami telah menerima maklum balas dari kesemua jabatan dan kementerian yang terlibat. MEDIU telah menerima surat pengesahan secara rasmi daripada Ketua Polis Selangor yang mewakili PDRM dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor yang mengizinkan agar MEDIU terus kekal beroperasi sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi.

“Status ini sekaligus menafikan kewujudan unsur unsur negatif yang menjurus kepada kegiatan radikal dan ekstrimis di dalam silibus pengajian dan aktiviti di MEDIU,” katanya pada  satu sidang akhbar di sini kelmarin.

Ismawi berkata, keputusan dari pihak KDN juga telah diperolehi iaitu dengan memberi kebenaran semula kepada MEDIU untuk mengambil pelajar antarabangsa dan MEDIU juga telah disenarai kembali di dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang melayakkan lepasan insitusi pengajian tinggi itu memohon jawatan di dalam perkhidmatan awam bagi kursus yang memiliki akreditasi penuh.

”MEDIU yang baru sahaja menginjak usianya yang ke-10 tahun telah mencapai beberapa perkembangan yang memberangsangkan. MEDIU pada waktu ini telah mempunyai 123 kursus akademik dengan 81 daripadanya telah memperolehi akraditasi penuh dari MQA. 

“Kami berasa sangat berbangga dan bertuah menjadi sebahagian daripada agensi yang berperanan merealisasikan cita-cita kerajaan Malaysia ‘Mengantarabangsakan Pengajian Tinggi’ selaras dengan visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi di peringkat dunia,” katanya.

MEDIU akan mula membuka pendaftaran pelajar baharu bagi September 2018 dan menyasarkan lebih 1,000 pelajar memandangkan tidak wujud lagi sebarang kekeliruan berkaitan status universiti tersebut.

Selain itu, kampus baharu MEDIU terletak di Desa Petaling, Kuala Lumpur mampu memuatkan lebih 5,000 pelajar dengan kemudahan lengkap sebagai kampus utama universiti. - K! ONLINE