Malaysia tidak ketinggalan apabila menghantar Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ke persidangan yang dianjurkan Al-Azhar As-Syarif bersama Majlis Hukamak Muslimin pada 17 dan 18 Januari ini.

Bagi umat Islam di negara ini, institusi Al-Azhar mewariskan sejarah yang panjang, bukan sahaja dari segi gerakan keagamaan dan intelektual malah pernah mengobarkan gerakan pembaharuan dalam perjuangan anti penjajah sebelum merdeka. Alumni Al-Azhar banyak mewarnai corak pemikiran di negara ini. Institusi pendidikan Islam tertua di dunia itu menjadi rujukan utama dunia Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Langkah Al-Azhar menganjurkan persidangan bagi mencari penyelesaian isu Palestin dan membantah tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel tepat pada masanya. Ia memberikan harapan dalam menyatupadukan suara umat Islam yang berpecah ekoran isu geopolitik.

Sepanjang sejarah, Al-Azhar banyak berperanan memelihara warisan Islam di samping mempromosikan keamanan, keharmonian, konsep wasatiyyah dan penyelidikan serta membawa mesej Islam sebenar kepada masyarakat di seluruh dunia. Pendekatan dan manhaj Al-Azhar menjadi sandaran kukuh untuk dunia bersatu dalam menghadapi isu penting membabitkan masa depan rakyat Palestin khususnya Baitulmuqaddis.

Kaedah itu dilihat memberi kesan lebih baik bagi jangka panjang berbanding menanti satu kekuatan politik terbentuk. Dunia Islam pernah mengalami kejatuhan pa­ling teruk selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah berpusat di Turki pada awal abad ke-20, namun Al-Azhar kekal menjadi pusat gerakan keintelektualan Islam.

Kini, Turki mungkin menjadi model bagi pendukung politik demokrasi moderat Islam namun umat Islam masih berpecah dalam isu-isu tertentu seperti konflik di Syria. Ada orang menyebut, umat Islam boleh disatukan dengan al-Quran dan kesatuan kiblat pada Kaabah di Mekah. Namun, Al-Azhar juga penting sebagai institusi gerakan keilmuan dan pencerahan pemikiran.

Di bawah pimpinan Sheikh Al-Azhar, Sheikh Ahmed Mohamed Al-Tayyeb menyaksikan Al-Azhar berjaya mempertahankan institusi tersebut dalam menyatukan umat Islam termasuk membabitkan pergolakan politik di Mesir apabila Presiden Mohamed Morsi digulingkan.

Sheikh Ahmed sebelum ini tampil mengukuhkan pe­ranan Al-Azhar ketika persidangan di Chechnya, Rusia pada Ogos tahun lalu. Persidangan itu mengeluarkan resolusi menjelaskan siapakah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar. Ia diadakan di tengah-tengah api konflik Asia Barat dengan kemunculan golongan salafi jihadi melibatkan pemberontak Daesh. Pemikiran takfiri dan dokrin sektarian telah memusnahkan Asia Barat. Baranya masih membakar sehingga kini.

Pihak yang cuba memicu perang mazhab ternyata telah gagal. Dalam hal ini, institusi Al-Azhar mempunyai pe­ngalaman begitu panjang dalam mewakili dunia sunni untuk menyelesaikan masalah ini. Antaranya pada tahun 1948, Sheikh Al-Azhar, Mahmud Syaltut menggagaskan taqrib al-mazahib (pendekatan antara mazhab). Cara yang diambil Al-Azhar bukan untuk mencairkan pegangan mana-mana mazhab sebaliknya mengarahkan seluruh umat Islam kepada prinsip saling menghormati pendapat yang didukung oleh dalil.

Dunia Islam termasuklah Mesir hingga ke Asia dan Eropah tidak mampu lagi berbalah disebabkan mazhab sehingga mereka gagal menyelesaikan isu sepenting Baitulmuqaddis. Diharapkan Al-Azhar berhasil memimpin masyarakat dunia Islam dan mengeluarkan rumusan berkesan dalam menyelesaikan isu yang melanda Palestin ketika ini.