Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM ketika ini dalam fasa akhir penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh serta dapat menangani pelbagai isu terkini.

"Kita hampir di penghujung perbincangan bersama Peguam Negara dan sangat mengharapkan dapat membentangkannya di Parlimen pada suku pertama sebelum Mac tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri larian 'Stop The Stigma' anjuran Hospital Umum Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri lama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, akta itu merangkumi bukan sahaja tembakau tetapi beberapa sisi lain yang bersangkutan dengan nikotin yang terdapat di dalam 'vape' ataupun rokok elektronik.

Sebelum ini, Timbalan Menteri, Dr. Lee Boon Chye mengetuai jawatankuasa khas yang melihat kepada persoalan mengenai vape dan shisha yang membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) dan farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk tembakau yang mengandungi nikotin. - Bernama