Mohd Amar berkata Malaysia mempunyai terlalu banyak undang-undang namun dalam masa yang sama penguatkuasaan terhadap sesuatu akta dilihat terlalu lemah.

"Saya rasa lebih baik menteri (di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa) melihat dahulu akta-akta yang ada dan tengok di mana ruang-ruang yang kita boleh laksanakan untuk menjaga keharmonian di dalam negara kita terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan agama dan juga kaum.

"Saya (juga) ada terbaca pandangan daripada seorang peguam (yang mendakwa) Akta Hasutan ini cukup untuk mengawal isu perkauman dan agama," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Semalam, Mujahid dilaporkan berkata kerajaan bercadang mewujudkan Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina agama Islam atau agama lain.

Ditanya mengenai langkah Kerajaan Persekutuan untuk memperhalusi pembayaran 20 peratus royalti petroleum kepada negeri pengeluar minyak dan gas, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata perjanjian asal hanya membabitkan pembayaran lima peratus sahaja.

"Kami hanya tuntut hak (royalti petroleum) lima peratus sahaja, selesailah hak itu dulu," katanya. - Bernama