Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, melalui akta tersebut fungsi Aksem yang merupakan sebuah agensi khusus yang bertanggungjawab mengawal kegiatan penyeludupan telah diperluaskan bagi melaksanakan kawalan di kawasan sempadan darat negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Berdasarkan subseksyen 1(2) Akta Aksem 2017, Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menetapkan bahawa akta ini akan berkuatkuasa pada 29 Disember 2017 (Jumaat ini).

"Fungsi ini membolehkan Aksem melaksanakan operasi sehingga ke garis persempadanan negara bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang. Ini dapat memperkukuhkan lagi tahap kawalan keselamatan yang pada masa ini dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Atngkatan Tentera Malaysia serta agensi penguatkuasaan lain," katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, agensi-agensi yang membentuk Aksem melibatkan keanggotaan daripada lima agensi sedia ada iaitu PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja MAlaysia, Agensi Anti DAdah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

"Dalam pada itu, peruntukan dalam akta ini juga membenarkan mana-mana pegawai awam lain dilantik menyertai Aksem mengikut keperluan," katanya. - Bernama