Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, rampasan itu hasil risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu dan maklumat orang awam.

"Rokok seludup dan elak cukai ini mendapat permintaan yang tinggi kerana harga jualannya yang lebih murah.

"Harga rokok dikenakan cukai RM17 hingga RM20 sekotak tetapi rokok seludup dan elak cukai hanya berharga RM4 hingga RM6 bagi satu kotak yang mengandungi 20 batang rokok.

"Ini merupakan antara punca rokok ini diseludup dari Thailand dan Indonesia kerana menjanjikan keuntungan yang lumayan," katanya pada sidang media khas di Kompleks Aksem Kuala Perlis di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Basri berkata, seorang suspek lelaki berusia 43 tahun telah ditahan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda 10 kali ganda nilai cukai atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

"Turut dirampas ialah 55 guni mercun bola bersaiz besar bernilai RM22,000 dan sebuah lori berwarna hitam yang berharga RM12,000," katanya. - K! ONLINE