Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata mereka gembira dan memberi sokongan padu apabila khabar angin yang bertiup kencang sejak tiga hari lalu menyatakan Presiden PKR berusia 71 tahun itu akan bertanding di sini menjadi kenyataan.

Berdasarkan maklumat daripada seorang ahli akar umbi PKR di sini, terdapat kira-kira 20 kain rentang mengalu-alukan Anwar bertanding di situ digantung sejak malam tadi di tepi jalan dari Lukut hingga ke Linggi.

Bagi Muhammad Izwan Abdullah, 42, dia teruja sebaik mengetahui perkara itu tengah hari tadi dan tidak sabar untuk berkempen demi memastikan Anwar menang.

"Kami ahli akar umbi di Port Dickson memberi sokongan penuh dengan keputusan tersebut. Saya yakin, gerak kerja yang teratur oleh gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) mampu memberi kemenangan kepada Anwar," katanya kepada Kosmo! hari ini.

Tambahnya, Anwar memiliki kelebihan mengekalkan penguasaan PKR di kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenangi sejak tiga penggal lalu kerana beliau berpengalaman luas dalam politik malah pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

"Jika menang nanti, beliau (Anwar) akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir. Hal ini memberi kebaikan kepada penduduk di Port Dickson," ujarnya.

Bagi Md. Nordin Ismail, 63, dia senada dengan Muhammad Izwan namun, menjangkakan saingan sengit pada PRK tersebut jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon Melayu dan Islam berbanding calon MIC dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

"Kita yakin kemenangan akan berpihak kepada PKR yang mewakili PH. Bagaimanapun, jika BN meletakkan calon Melayu dan Islam mewakili parti itu, saya percaya saingan sengit pasti berlaku," katanya.

Sementara itu, M.Tachinamoorthy, 57, berkata, meskipun dia menyambut baik keputusan dibuat kepimpinan tertinggi PKR, dia harus menerangkan dengan baik kepada akar umbi lain berhubung perkara berkenaan bagi mengelakkan salah faham yang boleh merosakkan parti.

Jelasnya, hal ini kerana, rata-rata penduduk di Port Dickson sudah mula serasi dengan penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah kerana hubungan baiknya dengan rakyat.

"Pengorbanan Danyal Balagopal amat kami hargai. Namun, saya difahamkan beliau akan terus berkhidmat di Port Dickson dan akan membantu Anwar di sini," katanya. - K! ONLINE