Baginda bertitah, institusi masjid hendaklah bebas daripada terjerumus ke dalam kancah politik terutamanya menjelang musim pilihan raya dan perlu patuh serta akur terhadap dasar-dasar negeri.

"Saya yakin rakyat Perlis akan sentiasa menjunjung etika profesionalisme, bahkan matang dalam berfikir," titah baginda pada Multaqa Pendakwah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, baginda bertitah, setiap pendakwah mestilah berakhlak terpuji, beretika dan bersifat mulia kerana keperibadian dan penampilan mereka menjadi sandaran, cerminan dan rujukan kepada umum.

Baginda bertitah, golongan pendakwah juga perlu menjaga pergaulan serta menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan sebarang bentuk fitnah sehingga menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap peranan mereka.

Tuanku Syed Faizuddin juga menyeru agar golongan pendakwah menggunakan pendekatan yang lembut dalam menyampaikan dakwah di samping menunjukkan teladan yang baik agar dicontohi masyarakat.

"Jadilah ejen atau pihak yang akan memperbetulkan sebarang salah tanggapan masyarakat mengenai isu-isu misalnya berkaitan zakat dan wakaf supaya tidak berlaku salah faham dalam kalangan mereka," titah baginda. - Bernama