Ulam-ulaman seperti petai, jering dan pegaga mudah didapati di sekitar kampung. Sayur-sayuran pula ada yang ditanam sendiri seperti kacang panjang, kacang botol, sawi dan kangkung.

Biasanya, saya akan membuat batas sebelum atau selepas pulang dari sekolah selain pada hari cuti hujung minggu dan cuti persekolahan. Ekoran itu, memakan ulam dan sayur sudah menjadi amalan dalam menu harian.

Rasanya tidak lengkap jika tidak memakan sayur atau ulam. Bahkan, ia lebih sedap apabila sayuran itu hasil titik peluh sendiri. Selain itu, sayuran yang ditanam juga dapat menjadi lauk segera kerana memasak sayur begitu mudah dan tidak memerlukan masa yang lama.

Bagaimanapun, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) baru-baru ini yang menyatakan rakyat negara ini kurang mengambil sayur-sayuran dan ulam-ulaman sebagai makanan rutin dengan purata per kapita pengambilan sekitar 55 kilogram (kg) setahun tidak memeranjatkan saya.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Mansor Omar berkata, jumlah itu lebih kecil berban­ding rakyat Jepun iaitu kira-kira 150kg setahun.

Beliau turut menyatakan beberapa punca rakyat kita tidak memakan sayur seperti menu yang kurang pelbagai, cara pemotongan dan tiada nilai tambah. Di China katanya, terdapat lebih 100 resipi yang boleh dihasilkan menggunakan kangkung.

Kenyataan tersebut bagi saya ada benarnya. Ini ke­rana, biasanya saya sendiri hanya disajikan kangkung goreng atau masak lemak. Disebabkan itu, masakan kangkung kini sudah jarang ditemui di rumah selain anak-anak juga kurang menggemarinya.

Pelbagai punca boleh dikaitkan dengan kekurangan masyarakat memakan sayuran dan ulaman. Apa yang saya perhatikan, kehidupan di bandar-bandar besar terutamanya di Lembah Klang ini menyukarkan kita untuk bercucuk tanam terutamanya yang tinggal di rumah pangsa, pangsapuri atau kondominium.

Ketiadaan tanah membantutkan usaha untuk mena­nam sendiri sayur-sayuran atau ulam-ulaman. Walaupun terdapat kaedah hidroponik yang tidak memerlukan tanah untuk menanam sayur tetapi saya yakin masih ramai yang kurang arif mengenainya.

Justeru, bagi menggalakkan orang ramai menanam sendiri sayur-sayuran atau ulam-ulaman, kaedah hid­roponik ini perlu diperluaskan. Selain itu, pihak ber­kenaan perlu turun padang ke kawasan sasaran bagi memberi pendedahan dan ilmu agar orang ramai dapat membuatnya secara praktikal.

Sekiranya lebih ramai orang boleh mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman secara kecil-kecilan di rumah sudah pasti amalan memakannya akan meningkat. Ini kerana, kedua-dua jenis tanaman itu mempunyai kitaran hidup yang singkat dan mereka pasti tidak mahu membazirkannya setelah bertungkus-lumus menanam dan menjaganya.

Antara punca lain kurangnya amalan memakan sayuran di negara ini ialah harganya di pasaran juga agak mahal. Pada musim tertentu, harga sayuran akan melam­bung tinggi. Justeru, kerajaan juga perlu mening­katkan kawasan pertanian bagi mengeluarkan lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang berkualiti tinggi.

Bagi ibu bapa pula, kita sepatutnya tidak berputus asa dalam memujuk anak-anak memakan sayur dan ulaman. Walaupun hidangan sayur yang disediakan di atas meja tidak diusik oleh mereka, janganlah ia menjadi alasan untuk tidak menyediakannya. Mana tahu satu hari nanti terbuka hati mereka untuk mencuba sekali gus mula memakan sayur.