Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mang­sa, Roslinda Mohamad Isa (gambar kecil), 44, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kepala Batas di sini untuk mendapatkan rawatan sebelum di­sahkan meninggal dunia dua jam kemudian.

Kejadian tersebut turut menyebabkan suami Roslinda yang berusia 44 tahun cedera pada kepala dan tangan. Lelaki itu yang parah dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

Difahamkan, ketika kejadian tiada pelanggan berada di gerai itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara berwarna hijau dari arah Bertam Indah menuju ke Paya keladi hilang kawalan semasa melalui lokasi kejadian.

“Kereta itu terbabas dan me­langgar gerai menjual nasi lemak mangsa.

“Ekoran rempuhan itu, mang­sa cedera parah akibat tercam­pak sejauh 10 meter, manakala suaminya luka pada kepala dan tangan,” kata­nya.

Menurut Noorzainy, pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang besi berusia 31 tahun itu cedera ringan dan ditahan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, ujian saringan awal air ken­cing lelaki itu didapati positif dadah jenis ganja.

“Pemandu kereta itu akan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali membe­ritahu, sebelum kejadian kereta tersebut dilihat dipandu laju dan dalam keadaan berbahaya hingga hampir melanggar beberapa kenderaan di kawasan Taman Seri Serdang, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.