Dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh AirAsia, FACES adalah sistem pengecaman wajah dengan pintu perlepasan sendiri.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporats), Aireen Omar, sistem tersebut menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti tetamu yang telah berdaftar di pintu perlepasan sendiri, sekali gus membolehkan mereka menaiki penerbangan tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

“FACES membolehkan kami memberi pengalaman lapangan terbang yang lebih baik kepada para tetamu kami dengan mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk menaiki pesawat.

"Kami berbangga untuk menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia dan Asia yang menawarkan pengalaman perjalanan lancar bermula daripada daftar masuk hingga menaiki pesawat dengan teknologi pengecaman wajah terkini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MBR kerana mengiktiraf usaha kami dalam memberikan perkhidmatan yang lebih canggih kepada tetamu kami," kata Aireen.

Tambah beliau, FACES setakat ini telah beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

Sehingga kini, kira-kira 73,000 orang tetamu telah mendaftar dengan FACES dan jumlah pendaftaran kian meningkat daripada 8,000 orang tetamu sebulan dari tarikh pelancarannya bermula Februari hingga Jun yang kini mencecah 12,000 orang tetamu sebulan.

"AirAsia kini sedang berusaha untuk terus membangun dan menyempurnakan teknologi ini untuk dilaksanakan di semua lapangan terbang di Malaysia," ujarnya lagi.

Rekod tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBR, Wong Hong Wai kepada Aireen yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di ibu pejabat AirAsia, RedQ, hari ini.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, layari laman Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia) AirAsia. - K! ONLINE