Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata, usaha jangka panjang itu bergantung kepada permintaan daripada penumpang bagi laluan yang ditawarkan dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Melaka dalam mempromosikan laluan tersebut.

Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima, Melaka merupakan dua destinasi popular dalam kalangan penumpang asing yang menaiki penerbangan syarikat itu selain Pulau Pinang kerana kedua-dua negeri berkenaan mempunyai beberapa persamaan khususnya dari segi aspek warisan serta sejarah yang diiktiraf UNESCO dan ia menjadi tarikan utama kedatangan pelancong ke destinasi tersebut.

"Bagi perancangan jangka panjang khususnya untuk laluan baharu menerusi LTAM, lokasi sebenarnya banyak tetapi kita akan membuat kaji selidik sebelum ia dimuktamadkan dan sekurang-kurangnya ia memerlukan antara tiga hingga enam bulan.

"Kita percaya Melaka mempunyai potensinya tersendiri dan jualan tiket bagi laluan dua hala Melaka ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Melaka yang baharu dilancarkan hari ini agak memberangsangkan iaitu melebihi 90 peratus daripada jumlah kerusi yang ditawarkan," katanya pada pemberita selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama AirAsia Melaka-Pulau Pinang-Melaka di LTAM, di sini hari ini. - Bernama