Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, kekerapan penerbangan tambahan tersebut dijangka dapat memacu hubungan udara antara kedua-dua bandar tersebut selari dengan komitmen AirAsia untuk merapatkan jurang di Asean.

Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Spencer Lee berkata, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, AirAsia akan mengendalikan perkhidmatan sebanyak dua kali sehari dari Kota Kinabalu ke Singapura. 

"Peningkatan penerbangan ini membolehkan kami menawarkan lebih banyak pilihan kepada tetamu kami sama ada yang melancong untuk perniagaan atau percutian," kata beliau dalam kenyataan itu.

Bagi meraikan penambahan penerbangan tersebut, AirAsia menawarkan promosi tambang termasuk semua daripada RM148 sehala dari Kota Kinabalu ke Singapura. 

Tempahan boleh dibuat di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 23 Jun 2018 untuk tempoh perjalanan antara sekarang dan 31 Januari 2019.

AirAsia kini menghubungkan lapan laluan domestik dari Kota Kinabalu - Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuching, Miri, Sandakan dan Tawau. 

Ia juga menghubungkan sembilan laluan antarabangsa dari Kota Kinabalu - Singapura, Hong Kong, Manila, Taipei, Guangzhou, Hangzhou, Wuhan dan Shenzhen, termasuk satu laluan terus terbaru ke Bangkok bermula 16 Ogos 2018. - Bernama