Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama AirAsia X Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata, selain berpeluang menambah jumlah penerbangan, permohonan tersebut juga dilihat antara inisiatif terbaik bagi meningkatkan jumlah penumpang khususnya dalam kalangan pelancong luar negara untuk berkunjung ke Negeri di Bawah Bayu ini.

"Sekiranya, pihak kerajaan negeri meluluskan permohonan ini, kami yakin dalam tempoh setahun jumlah penumpang yang menaiki pesawat AirAsia ke negeri ini akan meningkat kepada 5 juta orang dan mencecah sehingga sembilan juta penumpang menjelang tahun 2022.

"Sehubungan itu, diharapkan pihak kerajaan negeri dapat meluluskan permohonan ini dalam tempoh enam bulan. Kami yakin dengan pembukaan semula Terminal 2 KKIA2, kita dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara memandangkan kedudukan Sabah yang strategik antara Australia dan negara-negara Asia lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di sini hari ini. - K! ONLINE