Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat), Aireen Omar berkata, wajah baharu itu direka untuk memberikan pengalaman penggunaan membuat tempahan penerbangan dan mendapatkan tawaran beli-belah atas talian serta sokongan pelanggan yang lebih lancar kepada pelanggan.

"Kami amat teruja untuk meraikan tahun baru ini dengan laman web dan aplikasi baharu yang dikuasakan kecerdasan buatan serta menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik, pantas dan intuitif.

"Kami akan berusaha menambah ciri pada aplikasi mudah alih dan berusaha meningkatkan pengalaman supaya ia bukan sahaja menjadi platform tempahan penerbangan tetapi teman perjalanan anda," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran laman web, aplikasi mudah alih berwajah baharu dan chatbot di sini hari ini.

Laman utama AirAsia baharu memberi pengalaman penggunaan yang lebih mudah dan pantas termasuklah notis penerbangan akan datang, pintasan carian dan carian baharu, pautan tawaran hotel, barangan bebas cukai dan sebagainya.

Chatbot AVA pula boleh didapati dalan ciri sembang secara langsung untuk membalas pertanyaan para pelanggan dengan serta-merta menerusi lapan  bahasa termasuklah bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Korea.

Para pengguna aplikasi mudah alih AirAsia juga boleh menikmati diskaun sebanyak 19 peratus menerusi kod promosi MOBILE19 untuk tempahan melalui aplikasi tersebut bermula hari ini hingga 3 Februari depan untuk tempoh perjalanan antara 1 Ogos dan 30 November tahun ini.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, layari laman Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia) AirAsia. - K! ONLINE