Minuman yang turut digelar sebagai ais tingkap itu merupkan kombinasi 25 rempah ratus selain mengandungi anggur, biji selasih, akar sarbat, isi kelapa, kembang semangkuk dan lain-lain.

Air sarbat pada awalnya dijual dengan kenderaan beroda yang dijaja sekitar pelabuhan di bandar tersebut sejak tahun 1919 sehinggalah kini dijual di dalam kedai.

Generasi keempat yang mengusahakan perniagaan minuman itu, Mohd. Asri Seeni Mohamed berkata, air sarbat masih digemari ramai dan mampu bertahan sehingga kini kerana dikatakan mampu menyejukkan badan dan melegakan sakit tekak.

"Dahulunya, air sarbat menjadi rebutan dalam oleh pekerja di pelabuhan dan kini popular dalam kalangan pelancong yang bersiar-siar di kawasan sekitar Tapak Warisan Dunia ini.

"Dahulu ia dijual pada harga kira-kira 10 sen segelas dengan rempah yang dibawa dari luar negara, tetapi kini kebanyakan rempah ratus itu sudah dijual di negara ini dan saya mengekalkan resipi turun-temurun bagi memastikan rasanya kekal sama," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 Ais Tingkap yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Lebuh Tamil, di sini.

Pada majlis itu, sebanyak 1,000 gelas air sarbat diedarkan secara percuma kepada orang ramai dan pelancong.

Menurut Mohd. Asri, minuman yang dijual pada harga di antara RM2.50 hingga RM3 segelas itu mampu terjual sebanyak 500 gelas sehari pada hari biasa dan boleh mencecah 1,000 gelas pada cuti umum dan cuti persekolahan. - K! ONLINE