Pengarah JAS Negeri Sembilan Norhazni Mat Sari berkata notis arahan itu dikeluarkan semalam, selepas pemeriksaan dilakukan pihaknya setelah mendapat aduan awam pada pukul 1.15 tengah hari, hari yang sama.

"Siasatan kami mendapati air biru itu terjadi akibat daripada kerja-kerja pencucian plastik terpakai yang dicemari dengan bahan pewarna. Kita telah arahkan kilang terbabit menghentikan operasi pencucian itu dan tidak lagi menerima plastik yang telah dicemari dengan bahan pewarna.

"Kilang terbabit juga telah kita arahkan supaya menyedut semula air biru itu dan proses berkenaan  telah pun selesai pagi tadi dan keadaan sungai kini kembali seperti sediakala," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kejadian air biru di kawasan perumahan Taman  Tuanku Jaafar (TTJ), Senawang dekat sini yang tular di media sosial semalam.

Mengulas lanjut, Norhazni berkata fenomena air biru itu dikesan bermula daripada saluran longkang di kilang terbabit dan kemudiannya mengalir ke kawasan perumahan TTJ, seterusnya ke Sungai Simin, di sini.

"JAS juga membuat pengukuran 'in situ' dan mendapati tahap bacaan pH adalah neutral dan tidak berbahaya kepada masyarakat setempat. Pun begitu, kita juga mengambil sampel air biru itu untuk dianalisa kandungan sebenarnya," katanya. - Bernama