Cepat benar masa berlalu, terasa baru sahaja menyambut Ramadan. Tidak puas rasanya menikmati kenikmatan penghulu segala bulan itu. Rasa rindu pula untuk me­nunggu kehadiran Ramadan tahun hadapan pula. Semoga ibadah puasa yang kita lalui pada tahun ini diterima dan mendapat berkat daripada-Nya.

Sama-samalah kita bergembira menikmati kedatangan Aidilfitri dengan sambutan yang lebih bermakna dalam mensyukuri segala nikmat yang diperoleh selain merapatkan lagi tali silaturahim antara kita. Kepada yang tidak bernasib baik, jangan pula kita lupa untuk kita mengajak sama-sama bergembira.

Setiap kali datangnya bulan kemenangan ini, kita digalakkan untuk menyambutnya dengan penuh kegembiraan, bermaaf-maafan, menikmati hidangan yang istimewa, saling kunjung-mengunjungi dan tidak lupa mendoakan kesejahteraan roh ibu bapa serta mereka yang telah pergi.

Seperti yang disunatkan, hari raya adalah hari untuk kita bergembira. Pada kesempatan inilah peluang untuk merapatkan lagi tali persahabatan dan persaudaraan dengan saling bertanya khabar dan bermaaf-maafan sebanyak yang mungkin.

Dalam dunia yang semakin moden dan bersifat kebendaan ini, sudah pasti hubungan antara kita menjadi renggang dek tuntutan masa dan kehidupan.

Ramai antara kita yang mengaku bersaudara tetapi tidak tahu susur galur atau kedudukan sebenar dalam keluarga sama ada bersepupu, dua pupu, tiga pupu mahupun berbau bacang sekalipun.

Ramai antara kita sering mendakwa hanya memiliki keluarga yang kecil tetapi hakikatnya mempunyai saiz keluarga yang lebih besar dek kerana sikap tidak ambil peduli.

Apa yang mereka tahu ialah lebih ramainya sahabat handai, rakan taulan sepejabat yang lebih dekat berbanding saudara-mara sepupu sepapat yang berada di kampung halaman.

Ini bukan sahaja dialami oleh mereka yang sudah lama mencari rezeki di bandar-bandar malah yang tinggal sekampung atau berselisih satu dua blok dalam tanah rancangan Felda atau Felcra sekalipun.

Pada satu sudut, kita tidak boleh dipersalahkan jika keadaan ini berlaku sehingga jurang kekeluargaan semakin melebar. Maklumlah masa telah berubah. Keluarga semakin berkembang dan beranak-pinak. Ada antara kita yang saling mengenali hanya pada lapisan pertama dalam keluarga tetapi tidak pada generasi yang lebih baharu.

Menyambut hari raya sudah tidak seperti dahulu. Dahulu ia sudah pasti dihiasi dengan kad-kad hari raya tetapi kini sudah pupus ditelan WhatsApp, e-mel dan lain-lain platform komunikasi yang lebih canggih. Kalau tiada pengetahuan atau alat-alat platform ini, alamat gersang ucapan hari raya lah jadinya.

Kemeriahan dan tradisi kunjung-mengunjung juga semakin ditelan dek permainan-permainan video di rumah dan kesukaan melepak di pusat-pusat beli-belah semata-mata.

Ada dalam kalangan umat Islam kini lebih selesa untuk mengadakan rumah-rumah terbuka berbanding saling kunjung-mengunjungi setiap rumah sahabat handai dan saudara-mara satu persatu semampu boleh.

Kita khuatir tradisi kunjung-mengunjung dan mengenali susur galur dalam keluarga semakin dihakis dek zaman dan akhirnya kita hanya mengenali rapat kawan-kawan sepejabat sahaja.

Justeru hari raya adalah antara hari yang baik dan bermanfaat untuk saling bertaut kembali sama ada dekat mahu pun jauh. Inilah kesempatan untuk memecahkan setiap belenggu keegoan sebaliknya saling rapat sebagai saudara seagama dan dalam berkeluarga.

Sesama kita - Sama-samalah kita melakukan pecutan pada sehari dua berbaki Ramadan ini. Memang rugi rasanya baki Ramadan dibiarkan berlalu begitu sahaja walaupun dalam hati kebanyakan daripada kita, Syawal lebih menggamit perasaan.

Zakat fitrah pula jangan dilupa. Sebagai umat Islam kita diingatkan agar tidak lalai dengan kesibukan membuat persiapan hari raya hingga lupa untuk mempertingkatkan amal soleh.

Mudah-mudahan Ramadan yang kita lalui tahun ini akan menjadi titik permulaan dalam diri menjadi insan bertakwa serta diredai dunia akhirat.

Kepada yang mahu pulang berhari raya di kampung, sentiasalah berhati-hati ketika memandu di jalan raya. Statistik kemalangan maut pada musim-musim perayaan sentiasa meningkat. Jika kita sekalipun berhati-hati, ada orang lain yang cuai dan menjadi punca kepada kemalangan.

Jadikanlah jalan raya sebagai laluan kesyukuran ke destinasi yang dikehendaki bukan lebuh raya maut. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.