Lebih meluluhkan hati Noryati Nadi, 43, apabila Mohd. Amirul Shafiq Md. Nor, 23, diberikan makanan menerusi tebuk salur di bahagian perut. 

Noryati memberitahu, keadaan anak kedua daripada lima beradik itu sedemikian selepas sedar daripada koma selama empat bulan susulan terlibat kemalangan jalan raya pada Julai tahun lalu. 

Katanya, semasa kejadian Amirul Shafiq membonceng motosikal ditunggangi rakannya dalam perjalanan ke Sungai Besar dari Sekinchan. 

"Siapa tidak sedih lihat anak begini yang dulu sering mengusik dengan jenakanya dan kini terlantar. Raya tahun ini kurang bermakna dan meriah bagi saya. 

"Persiapan lebaran juga tidak difokuskan berikutan Amirul Shafiq memerlukan penjagaan serta perhatian sepenuh masa kerana tidak berupaya mengurus diri sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pantai Batu 23 Sungai Nibong, di sini hari ini. 

Mengimbas kembali, Noryati memberitahu, sebaik Mohd. Amirul sedar dari koma, doktor telah menebuk lubang pada bahagian leher bagi membolehkannya bernafas seperti biasa. 

Jelas suri rumah itu, Mohd. Amirul dibenarkan pulang ke rumah November tahun lalu selepas pihak hospital berpuas hati pihak keluarga dapat menyediakan sebuah katil khas dan sebuah mesin khas berharga RM3,000 yang berfungsi menyedut kahak.

"Bagi membekalkan tenaga, Mohd. Amirul hanya bergantung kepada susu khas berharga lebih RM90 satu tin.

"Susu khas itu pada mulanya dimasukkan menggunakan tiub melalui hidung namun menganggu penafasan Mohd. Amirul sebelum doktor mengesyorkan menebuk salur makanan terus pada bahagian perut," katanya. 

Noryati menzahirkan kesyukurannya kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini meluluskan permohonan pembiayaan membeli 15 tin susu khas dan 30 pek lampin pakai buang mencecah kos kira-kira RM3,000 sebulan. 

"Pendapatan sebelum ini bergantung pada suami, Md. Nor Ajid yang meraih RM4,00 sebulan dengan bekerja kampung. 

"Cuma ketika ini, kami memerlukan peruntukkan RM700 sebulan bagi perbelanjaan peralatan seperti tiup salur makanan dan cuci kahak selain membawa Mohd. Amirul melakukan pemeriksaan di hospital bagi rawatan secara berkala," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan atas nama Noryati Nadi melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1012341100004257 atau menghubunginya melalui talian 011-20878048. - K! ONLINE