Jelasnya, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara tersebut dan mengalu-alukan sekiranya  Mohamed Azmin mahu bertanding di dua Parlimen itu.

Menurut Ahmad Zahid, Azmin yang ingin bertanding di dua Parlimen itu mungkin merasakan kawasan beliau bertanding sebelum ini akan mengalami kekalahan oada PRU-14 akan datang.

“Itu antara sebab beliau (Azmin) mahu mencuba nasib bertanding di kawasan lain.

“Kita tahu kawasan yang diwakili oleh beliau banyak mengalami permasalahan yang menjadi rungutan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Kampung Teluk Buluh, Kampung Selekoh dan pekan Bagan Datuk di sini sebentar tadi.

Ahmad Zahid mengulas mengenai perkara tersebut selepas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sedang dalam pertimbangan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang oleh Ahmad Zahid menjelang PRU- 14 depan.

Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak bagaimanapun masih menunggu dan perkara itu bergantung kepada keputusan daripada barisan pucuk pimpinan.

Akhbar tempatan semalam turut melaporkan, Azmin berkata bahawa Selangor sudah berada dalam keadaan baik dan mahu bertanding di Bagan Datuk atau Pekan sekiranya diberi pilihan untuk bertanding di luar negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau menyarankan kepada Azmin agar melakukan penambahbaikan perkhidmatan terutamanya kemudahan asas kepada pengundinya.

“Saya tahu, dia (Azmin) hanya main-main. Dalam politik tidak boleh main-main.

“Kenyataan pemimpin juga bukan boleh dibuat bergurau dan main-main,” katanya. - K! ONLINE

Habis