Ahmad Mirza yang merupakan seorang daripada tiga saksi kejadian berkata, beliau menyedari kebakaran berlaku apabila terhidu bau asap serta bahang api sedang membara di bawah katilnya.

"Ketika kejadian, pada masa itu saya terbangun daripada tidur sebab terbau asap dan nampak api di bawah katil saya...setelah melihat asap hitam tersebut saya kejut rakan dorm yang masih tidur untuk keluar menyelamatkan diri.

"Keadaan saya ketika itu blur (samar-samar) dan berasa seperti dalam mimpi sebab baru bangun daripada tidur...saya tidak boleh gambarkan bagaimana perasaan ketika itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang menetap di Semenyih, Selangor dan mengakui masih trauma serta terkejut dengan kejadian itu berkata beliau sedih kerana semua kelengkapan belajarnya hangus dijilat api dalam kebakaran itu.

Dalam kejadian 1.58 pagi tadi dua dorm di asrama lelaki STIAS yang menempatkan 85 pelajar musnah 90 peratus dalam kebakaran. 

Pihak bomba mengerahkan seramai 22 pegawai serta anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Senawang dan Seremban ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan itu.

Kebakaran dapat dipadamkan 30 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati ibu bapa pelajar yang terlibat mula berkumpul di sekolah berkenaan sejak 7 pagi untuk membawa pulang anak masing-masing.

Kawalan masuk ke asrama yang terlibat juga diperketatkan dan ibu bapa hanya boleh mengambil anak masing-masing di kawasan pentadbiran sekolah. - Bernama