Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Wan Hassan, 62, turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian betis kiri dan tangan akibat bergelut dengan penyamun terbabit.

Ahli Parlimen dari Pas itu berkata, sebelum kejadian, beliau mengeluarkan wang tunai berjumlah RM26,000 dari sebuah bank dengan sebahagiannya mahu digunakan untuk membayar pembelian lembu bagi urusan ibadah korban di beberapa surau di kawasan Parlimennya.

"Sebaik saya memasuki kenderaan utiliti sukan, Toyota Harrier, seorang lelaki tiba-tiba membuka pintu tempat duduk penumpang hadapan.

"Pada mulanya saya ingatkan lelaki tersebut mahu mengadu masalah atau memohon sumbangan tetapi dia bertindak merentap beg berisi wang tunai itu sehingga berlakunya pergelutan," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, pergelutan selama kira-kira lima minit itu berakhir dengan beliau mengalami kecederaan ringan di bahagian betis dan tangan manakala beg berisi wang tunai pula berjaya dilarikannya.

Beliau yang mengalami rabun jauh memberitahu gagal mengecam individu yang menyamunnya disebabkan cermin matanya terjatuh sewaktu pergelutan tersebut.

"Saya perasan dia melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diekori sebuah kereta dipercayai rakan sejenayahnya.

"Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada pukul 3.05 petang tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE