Istiadat tersebut diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Muhammad V Tahun 2018 dan sebagai penghormatan serta lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan tidak berbelah bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap Raja dan negara.

Hadir sama pada istiadat tersebut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohammad Fuzi Harun.

Lima Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji-panji Tentera Udara Diraja Malaysia.

Istiadat sambutan dimulakan sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong tiba pada pukul 10.50 pagi dan lagu Negaraku dimainkan diiringi dengan 21 das tembakan meriam kehormatan yang disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Mohd. Asri Che Wil.

Serentak dengan itu sebanyak lima buah helikopter ATM yang membawa Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia yang diketuai oleh Mejar Narul Nizam Ismail.

Tuanku turut memeriksa perbarisan yang  diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Othman termasuk 28 pegawai dan 550 anggota lain-lain pangkat.

Turut dipersembahkan pancaragam yang mengiringi istiadat perbarisan dari gabungan pancaragam Pusat ATM dibawah pimpinan Mejar Muhammad Nor Azizan Yahya dan dibantu oleh Staf Sarjan Mohd. Adib Hashim. - K! ONLINE