Aksi spontan Seri Paduka ketika menjemput semua anggota Parlimen mengambil tempat duduk masing-masing itu disambut dengan tepukan dan tawa anggota Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang, sekaligus menceriakan suasana dalam dewan. 

"Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tuan Yang Dipertua Dewan Negara dan ahli-ahli yang berhormat sekalian, sila duduk dan jangan lari," titah baginda sambil tersenyum.

Seri Paduka kemudiannya duduk untuk menyampaikan titah ucapan perasmian pembukaan.

Titah nasihat itu membuatkan ramai merujuk kepada insiden pembangkang bertindak keluar dewan semalam berikutan tidak puas hati dengan prosedur pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu. 

Tindakan keluar dewan bukan perkara baharu semasa sidang Dewan Rakyat memandangkan hampir setiap kali mesyuarat berlaku insiden seumpamanya, melibatkan kalangan anggota pembangkang. 

Malah, Seri Paduka dalam titahnya hari ini turut menasihati anggota Parlimen agar menggalas tugas dan amanah yang diberikan dengan jujur dan penuh dedikasi. 

"Beta percaya ahli-ahli Yang Berhormat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir. 

"... bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan dan bertatasusila supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar," tidak Seri Paduka. 

Mesyuarat Dewan Rakyat penggal ini akan berlangsung selama 20 hari sehingga 16 Ogos depan. - Bernama