Kejadian berlaku pada 24 Ogos lalu apabila mangsa dihubungi seorang pegawai bank memaklumkan memiliki tunggakan hutang sebanyak RM3,209 selepas membuka kad kredit Maybank Master Gold.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa juga telah didakwa memiliki hutang bank sebanyak RM5,829 oleh individu daripada sindiket Macau Scam berkenaan.

Katanya, curiga dengan keadaan itu mangsa kemudiannya menghubungi pihak polis bagi membuat laporan polis.

"Bagaimanapun, hasrat mangsa itu terbantut selepas panggilannya telah disambungkan kepada seseorang yang memperkenakan diri sebagai pegawai penyiasat BNM.

"Pegawai tersebut kemudiannya meminta mangsa membuat pemindahan wang kepada beberapa akaun yang diberikan sindiket terbabit yang didakwa untuk tujuan siasatan BNM," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Jelas Shamsul Amar, mangsa yang panik dan terpedaya seterusnya mengikuti segala arahan sindiket sehingga mengalami kerugian berjumlah RM700,000.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE