Impian Nur Ariana Dania Md. Zahid itu direalisasikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli yang membuat kejutan hadir ke rumah kanak-kanak itu di Kampung Bukit Hijau, di sini. 

Ibu kanak-kanak itu, Siti Nazwa Abdul Amin, 28, berkata, semuanya bermula apabila Team Ziarah Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram singgah menikmati minuman di gerai makan milik bapanya di Kampung Bukit Hijau kira-kira pukul 9.30 pagi semalam. 

Katanya, pegawai kepada Mohd. Shaid ada berbual dengan anaknya yang menyatakan hasrat untuk menaiki Toyota Alphard. 

"Nur Arianna juga ada memberitahu ingin bersiar-siar di Bukit Melawati bagi melihat monyet sambil memakan coklat. 

"Kami tidak sangka impian anak kami itu disampaikan kepada Mohd. Shaid yang kemudiannya datang secara mengejut ke rumah pukul 5.30 petang semalam," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. 

Jelas Siti Nazwa, ADUN Jeram itu meluangkan masa selama tiga jam bagi menunaikan impian anak sulungnya  daripada dua beradik itu. 

Wanita itu menambah, lebih mengharukan dirinya apabila Mohd. Shaid  memandu sendiri kenderaan mewah itu sepanjang tempoh tersebut. 

"Sebagai ibu bapa, semestinya kami menzahirkan penghargaan kepada Mohd. Shaid yang sanggup memenuhi impian anak kami yang telah menghidap penyakit tersebut sejak 10 bulan lalu," katanya. - K! ONLINE