Menurut bekas exco kanan yang berusia 62 tahun itu, beliau telah menghantar borang permohonan untuk menyertai parti itu Isnin lepas dan diluluskan serta diberikan nombor keanggotaan Bersatu sehari selepas itu.

Katanya, keputusan menyertai Bersatu dibuat kerana merasakan parti yang baru berusia dua tahun itu mempunyai kekuatan tersendiri dan hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan pengerusinya yang juga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di peringkat pusat dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Muhkriz Tun Mahathir di peringkat negeri.

Beliau juga menafikan tindakannya itu sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat di kawasannya atau parti lama, UMNO dan merasakan Bersatu mampu memperjuangkan agenda agama, bangsa serta tanah air. 

"Kalau kita buat sesuatu yang buruk, rosakkan ekonomi negara, ambil duit negara...itu dinamakan pengkhianatan...saya bukan tukar agama tukar parti saja, landasan perjuangan tetap sama tidak berubah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. - Bernama